Soalan Lazim

1)
Siapakah yang layak untuk memohon rumah kerajaan?
 
Rumah kerajaan layak dipohon oleh anggota penjawat awam yang bertugas Jabatan Negeri @ Jabatan Persekutuan dalam Daerah Timur Laut sahaja.
 
2)
Berapakah kadar sewa yang dikenakan bagi penghuni kuarters kerajaan ?
 
Kadar sewa kuarters kerajaan negeri adalah mengikut kelayakan Insentif Tetap Perumahan (ITP) seseorang pegawai dan pemotongan setengah daripada kos sara hidup.
 
3)
Apakah kelayakan kelas kuarters mengikut gred jawatan dan Insentif Tetap Perumahan (ITP)?
 

Kelayakan kelas kuarters mengikut gred jawatan dan Insentif Tetap Perumahan (ITP) adalah seperti berikut:

 
GRED SISTEM
SARAAN MALAYSIA
KADAR ITP
SEBULAN
KELAYAKAN
KUARTERS
53 dan 54 RM900.00 C / B*
47 hingga 52 RM700.00 C
45 dan 46 RM700.00 D / C*
43 hingga 44 RM400.00 D / C*
41 hingga 42 RM250.00 D / C*
31 hingga 40 RM180.00 E / D*
27 hingga 30 RM180.00 E
21 hingga 26 RM180.00 F / E*
13 hingga 20 RM180.00 G
1 hingga 12 RM180.00 H, I dan J
 
* Sekiranya kuarters kelas yang lebih tinggi mempunyai kekosongan
 
4)
Bilakah pemohon akan ditawarkan kuarters dilakukan setelah permohonan didaftarkan?
 
Pemohon akan ditawarkan kuarters mengikut senarai keutamaan dan tertakluk kepada kekosongan.
 
5)
Adakah pemohon dibenarkan untuk memilih/mencadangkan unit kuarters yang akan ditawarkan ?
 
Tidak dibenarkan. Tawaran kuarters dibuat mengikut kekosongan yang ada semasa proses pertimbangan jawatankuasa dilakukan.
 
6)
Apakah keutamaan yang diberikan dalam pertimbangan oleh jawatankuasa ?
 
Keutamaan pertimbangan diberikan kepada Ketua Jabatan dan pemohon mengikut pemarkahan senarai menunggu.
 
7)
Adakah penempahan untuk menduduki kuarters boleh dibuat sekiranya diketahui bahawa unit kuarters terbabit akan dikosongkan oleh penghuni dalam masa terdekat?
 
Tidak boleh. Tawaran kuarters dibuat mengikut giliran di dalam senarai menunggu.
 
8)
Adakah pemohon diberi pertimbangan kuarters pada kelayakan kelas lebih rendah ?
 
Ya. Jawatankuasa berhak mempertimbangkan penawaran kuarters pada kelayakan lebih rendah dari kelayakan asal pemohon (pada kelas kuarters yang dilihat wajar atas persetujuan pemohon).
 
9)
Adakah penghuni dibenarkan memohon kuarters mengikut kelayakan sebenar setelah mendiami kuarters yang kelasnya lebih rendah dari kelayakannya?
 
Boleh. Penghuni perlu mengemukakan surat permohonan untuk pertimbangan penukaran kuarters, namun tertakluk kepada kekosongan semasa bagi kelas kuarters yang berkenaan.
 
10)
Adakah pasangan pemohon boleh memohon untuk menduduki kuarters walaupun kelayakan kelas kuarters adalah sama?
 
Pasangan pemohon juga boleh memohon untuk menduduki kuarters namun hanya satu kelulusan ke atas setiap pasangan akan diberikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Kuarters Daerah Timur Laut.
 
11)
Apakah kelonggaran yang diberikan oleh jawatankuasa dalam penawaran kuarters ?
 
Jawatankuasa memberikan kelonggaran bagi pemohon yang berminat untuk ditawarkan unit kuarters di Pangsapuri Pelangi,Lebuh Macallum.
 
12)
Adakah penukaran peruntukan kuarters ke atas nama pasangan penghuni dibenarkan ?
 
Ya. Tertakluk kepada syarat di mana pasangan penghuni berkelayakan pada kelas kuarters yang sedang dihuni dan atas faktor kepentingan jabatan (pasangan @ penghuni) dan tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan jawatankuasa. Penukaran ke atas nama anak adalah tidak dibenarkan.
 
13)
Adakah pemohon perlu mengemukakan permohonan baru sekiranya telah dinaikkan pangkat?
 
Tidak perlu. Pemohon perlu mengemukakan dokumen berkaitan untuk dikemaskinikan dalam maklumat permohonan dan kelayakan kelas kuarters terkini.
 
14)
Sekiranya pemohon telah ditawarkan kuarters, adakah penangguhan boleh dilakukan?
 
Penangguhan boleh dipertimbangkan bagi tempoh 1 bulan sahaja dengan alasan yang munasabah.
 
15)
Adakah peruntukan kuarters yang telah diluluskan boleh ditolak?
 
Boleh dan nama pemohon akan disenaraikan semula di dalam senarai menunggu berdasarkan tarikh pemohon menolak tawaran.
 
16)
Jika pemohon menolak tawaran kuarters, bolehkah tawaran tersebut dipindahkan kepada rakan sekerja?
 
Tidak boleh. Kuarters terbabit akan diperuntukkan kepada pemohon lain berdasarkan giliran di dalam senarai menunggu.
 
17)
Adakah permohonan pertukaran kuarters boleh dipertimbangkan?
 
Ya. Dipertimbangkan atas faktor kesihatan (dokumen perubatan diperlukan) atau keperluan pelaksanaan kerja pembaikan major di kuarters berkenaan (kes kritikal).
 
18)
Adakah saya boleh memohon untuk berpindah ke kuarters lain sekiranya kuarters yang didiami sekarang mengalami kerosakan?
 
Ya. Penghuni boleh mengemukakan surat rayuan pertukaran kuarters sekiranya kuarters yang didiami mengalami kerosakan.
 
19)
Berapa unit diperuntukkan sebagai Rumah Bujang ?
 
Sebanyak 8 buah rumah bujang disediakan, 3 buah untuk kegunaan lelaki dan 5 buah untuk kegunaan Wanita.
 
20)
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya tinggal di kuarters bujang secara berkongsi dan bercadang untuk mengosongkan kuarters tersebut tetapi akaun bekalan elektrik dan air adalah di atas nama saya?
 
Penghuni dikehendaki untuk memastikan semua akaun bekalan utiliti di atas nama penghuni yang ingin mengosongkan kuarters ditamatkan dan penghuni bujang yang masih menetap di kuarters terbabit perlu membuka akaun bekalan utiliti atas namanya.
 
21)
Adakah Unit Pengurusan Aset & Bangunan bertanggungjawab ke atas harta benda termasuk kenderaan penghuni sekiranya berlaku kecurian?
 
Harta benda penghuni adalah di bawah tanggungjawab penghuni dan Unit Pengurusan Aset dan Bangunan tidak bertanggungjawab ke atas kes kecurian harta benda penghuni kuarters. Namun laporan polis perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam dan satu salinan laporan polis perlu dikemukakan ke Unit Pengurusan Aset & Bangunan seberapa segera.
 
22)
Adakah saya perlu mengosongkan kuarters sekiranya saya membeli rumah dengan menggunakan Pinjaman Perumahan Kerajaan di dalam kawasan lingkungan 25 kilometer perjalanan darat dari mercu tanda yang ditetapkan di stesen tempat bertugas?
 
Ya. Penghuni dikehendaki untuk mengosongkan kuarters dan sekiranya enggan keluar maka sewa boleh dikenakan mengikut kadar pasaran mulai rumah yang dibeli boleh diduduki (mengikut tarikh CF) atau tarikh penerimaan kunci yang mana kemudian.
 
23)
Adakah dibenarkan untuk membuat sebarang tambahan di kuarters kerajaan ?
 
Tidak dibenarkan.
 
24)
Adakah saya perlu mengecat semula dinding kuarters yang telah dicat dengan warna selain dari warna asal dinding terbabit sebelum mengosongkan kuarters?
 
Ya. Penghuni dikehendaki untuk mengecat semula dinding kuarters yang telah dicat dengan warna yang lain dari warna asal dinding terbabit sebelum mengosongkan kuarters. PSUK boleh mengenakan denda berdasarkan kos untuk mengecat semula dinding tersebut ke warna asal ataupun merampas deposit sewa kuarters (sekiranya ada) yang mana deposit tersebut akan digunakan untuk menampung kos mengecat semula dinding ke warna asal.